Tuesday, May 10, 2011

Jemputan ke Seminar Motivasi Kerjaya di Mesir (19-27 April 2011)



Salam..


Saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah motivasi di Mesir pada 19 hingga 27 April yang lalu di Kaherah dan Zagazig, Mesir bersama seorang lagi pakar motivasi Dr Mohammad Bin Jantan.

Program yang dianjurkan oleh Akademi Al-Quran-Medic (AQM) telah melibatkan hampir 500 orang pelajar perubatan, pergigian dan pengajian agama di Mesir. AQM Malaysia beribu pejabat di Bangi dan telah menghantar ramai pelajar untuk menuntut di mesir di dalam pelbagai bidang pengajian.

Berikut adalah laporan yang ditulis oleh Sdr Haji Shirajuddin Bin Sirat, pendaftar kepada AQM dan merupakan pengelola program tersebut.

Kaherah, 23 April 2011 – Alhamdulillah, Seminar Motivasi Kerjaya dapat disempurnakan dengan jayanya pada 22 April 2011 di Dewan Mustasyfa Garahah, Universiti Zagazig dan pada 23 April 2011 di Dewan Malaysia Abbassiah, Kaherah.

Seminar tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Pelajar Akademi Al-Qur’an (Siswa AQ) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Mesir. Seminar ini dihadiri oleh lebih daripada 250 orang pelajar di Zagazig dan 220 orang di Kaherah.

Dalam Ucapan Perasmian oleh TYT Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Duta Besar Malaysia ke Mesir, beliau mengingatkan akan pentingnya para pelajar meraih kecemerlangan di dalam pengajian dan sakhsiah mereka. Beliau seterusnya menekankan bahawa keterlibatan mereka dalam persatuan pelajar tidak menjurus kepada merosakkan perpaduan pelajar secara keseluruhannya.

Hj Shirajuddin Sirat, Pendaftar Akademi Al-Qur’an – Medic Malaysia (AQM) pula dalam ucapan aluannya mengingatkan para pelajar bahawa permulaan bagi menempah sesuatu kejayaan tersebut adalah dengan mengambil sikap yang betul dan positif untuk berjaya yang ada kaitannya dengan aqidah, peraturan hidup dan akhlak.

Pengisian seminar pada kali ini telah diisi dan dibimbing oleh Dr Muhamad Jantan selaku pakar motivasi dan kaunselor serta Dr Shahrizal Azwan Samsudin yang banyak terlibat dalam kerja-kerja amal di bawah Biro Kesihatan ABIM Pusat dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Dr Muhamad dalam dua slot pengisiannya menumpukan kepada aspek penjanaan kembali kecerdasan emosi dan spiritual. Beliau banyak menjalankan latihan praktikal sepanjang program tersebut.

Dr Shahrizal Azwan pula banyak berkongsi ilmu dan pengalaman beliau selaku da’ei yang berkerjaya dalam pelbagai kerja amal sejak zaman pengajian beliau di Fakulti Perubatan UIAM, seterusnya bersama ABIM, Global Peace Mission (GPM) dan MRA.

Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua AJK seminar daripada Siswa AQ dan ABIM Mesir yang dibimbing dan dipantau oleh Sdr Mohd Khairudin Mohd Nor, Pengurus Hal Ehwal Pelajar (HEP) AQM Pusat dan Sdr Syed Fuad Syed Othman, Pengurus HEP AQM Mesir.


Bergambar sebelum bertolak di KLIA. Kami menaiki pesawat Gulf Air. (Dari kiri) Saya, Azah (isteri), Kak Rahmah (isteri Dr Muhamad), Dr Muhamad Bin Jantan, Prof Dr Razali Nawawi dan Hj Shirajuddin)

Sewaktu memberi ceramah di Kaherah, Mesir kepada 220 orang pelajar perubatan di sana.

Bergambar bersama Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Duta Besar Malaysia ke Mesir di jemputan makan malam di rumah kedutaan berhampiran Ramses. Menu malam itu ialah nasi beriyani dan nasi kerabu yang dimasak oleh Datin Zaharah sendiri (isteri kepada TYT Dato' Duta).

Berdiri dari kiri (Azah, Dr Azwan, Hj Shiraj, Syed Fuad, Faiz (YDP ABIM Mesir).

Duduk dari kiri (Dr Muhamad, TYT Dato' Dr Mohd Fakrudin, Datin Zaharah dan Kak Rahmah).


Bersama Ustaz Farid dan isteri (Pengurus/wakil Yayasan Pahang), di hadapan rumah Pahang. Ustaz Farid adalah guru kepada isteri saya semasa persediaan ke Mesir dahulu dan ayah isterinya adalah rakan setugas kepada ayah isteri saya. Beliau menjemput umtuk makan tengahari di rumahnya pada hari terakhir.

Bersama-sama dengan adik-adik pelajar perempuan perubatan dan pergigian yang menghantar kami pulang di lapangan terbang Kaherah.

Gambar bersama sebelum berangkat pulang.



No comments:

Related Posts with Thumbnails