Monday, November 22, 2010

Boleh sebabkan penyakit jantung

Dipetik dari Harian Metro..


JIKA anda menghadapi masalah berat badan berlebihan, kurang bersenam, mempunyai ibu bapa berpenyakit kencing manis, kerap membuang air dan sentiasa letih, anda sepatutnya melakukan sesuatu atau berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

Ini kerana semua yang disebutkan di atas adalah petanda awal anda bakal menghidap penyakit kencing manis.

Menurut Pakar Perubatan dan Perunding Endokrin, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, penyakit diabetes tidak boleh dipandang ringan kerana kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1996 menunjukkan pesakit diabetes berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 8.3 peratus kepada 11.5 peratus pada 2006.

Satu daripada tujuh orang dewasa berumur 30 tahun ke atas pula penghidap diabetes malah lebih memeranjatkan apabila kanak-kanak berusia enam tahun adalah pesakit diabetes termuda di Malaysia.


"Daripada statistik ini sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mempunyai tahap kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit ini dan mula mendapatkan rawatan apabila mempunyai tanda seperti kerap buang air, mudah letih serta demam," katanya.


Menurut Dr Nor Azmi, diabetes berlaku apabila badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak normal dan jika dibiarkan menyebabkan komplikasi yang serius.

"Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam pankreas. Ia berfungsi mengekalkan gula dalam darah pada paras normal dan membantu mengeluarkan glukosa memasuki sel badan. Akibat kandungan insulin yang tidak mencukupi atau tidak berkesan dalam kalangan pesakit diabetes, gula tidak dapat memasuki sel badan dan ia kekal dalam darah menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

"Sebab itu penghidap penyakit kerap kencing dan mengalami rasa letih serta mudah mendapat jangkitan kuman pada buah pinggang, kulit serta paru-paru," katanya.

Terdapat dua jenis diabetes iaitu bergantung pada insulin dan tidak bergantung pada insulin. Diabetes yang bergantung pada insulin sering berlaku kepada kanak-kanak atau remaja.

Rawatan hanya boleh dikawal menerusi suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Biasanya pesakit mempunyai ahli keluarga penghidap diabetes.

Jenis kedua atau tidak bergantung pada insulin selalunya berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai berat badan berlebihan. Rawatan dilakukan menerusi kawalan makanan, senaman atau gabungan pemakanan, senaman dan ubat. Biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai ahli keluarga menghidap diabetes.

Sama ada pesakit menghidap diabetes atau sebaliknya, menurut Dr Nor Azmi, setiap individu perlu membuat pemeriksaan awal ini kerana menerusi ubat-ubatan, diabetes boleh dikawal. Ramai tidak tahu diabetes boleh membawa kepada penyakit jantung yang menyebabkan kematian awal malah kebanyakan penghidap sakit jantung yang meninggal pada usia muda selalunya mempunyai diabetes.

"Hampir 70 peratus kematian disebabkan sakit jantung dan berpunca daripada diabetes. Ini kerana penyakit jantung hanya berlaku apabila usia meningkat 50 tahun ke atas.

"Namun, jika seseorang itu mempunyai diabetes dan sakit jantung dia mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk meninggal dunia pada usia muda. Begitu juga dengan kematian disebabkan penyakit buah pinggang semakin meningkat disebabkan diabetes," katanya.

Katanya, kajian yang dijalankan pada 2008 oleh lima universiti di Malaysia mengenai Sindrom Metabolik di Malaysia dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan 50 peratus pesakit diabetes berpendapatan bulanan RM500 saja.

"Bayangkan bagaimana pesakit diabetes yang berpendapatan rendah ini menjalani rawatan sedangkan kos untuk rawatan bernilai ribuan ringgit. Ini juga memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana rawatan membabitkan penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis memerlukan kos yang besar. Justeru secara tidak langsung, ia akan memberi bebanan kepada ekonomi negara," katanya.

Menurut Dr Nor Azmi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menukar minda serta persepsi masyarakat supaya penghidap penyakit ini mendapatkan rawatan awal. Jangan tunggu sehingga sudah sampai ke peringkat serius atau apabila kaki sudah perlu dipotong baru berjumpa doktor.

Apabila berada pada tahap ini sukar untuk pakar perubatan merawat atau mengurangkan masalah yang berlaku.

Katanya, berbanding lelaki yang kuat ketahanan badan, wanita lebih mudah mendapat jangkitan penyakit apabila menghidap diabetes. Justeru kebanyakan wanita mudah diserang sakit buah pinggang, jantung dan masalah lain apabila menghidap diabetes.

Bagi wanita yang mendapat diabetes ketika mengandung, menurut Dr Nor Azmi, ini berlaku disebabkan perubahan hormon dan faktor pemakanan. Bagaimanapun, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana ia petanda awal kemunculan diabetes apabila mereka berusia 40-an.

"Wanita mengandung yang menghidap diabetes apabila tidak dikawal akan menyebabkan keguguran, terencat pembesaran dan berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang. Malah bayi akan membesar secara tidak normal di dalam kandungan yang akan menyebabkan kesukaran ibu melahirkan anak secara normal," katanya.

Menurut kajian, satu daripada tiga bayi akan mendapat diabetes sekiranya mempunyai ibu penghidap penyakit itu, satu daripada empat bayi akan mendapat kencing manis jika bapanya mempunyai penyakit itu dan sekiranya kedua-duanya mempunyai penyakit berkenaan enam daripada tujuh bayi berkemungkinan mendapatnya.

Cara mencegah dan mengawal diabetes adalah dengan mengawal pemakanan kepada makanan sihat dan berkhasiat. Ambil makanan seimbang mengikut piramid makanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan.

"Pada masa sekarang rakyat Malaysia lebih memberi penekanan kepada makan malam dengan mengabaikan sarapan dan mengurangkan makan tengah hari. Corak pemakanan ini salah, sepatutnya individu melebihkan sarapan, mengambil makan tengah hari serta mengurangkan makan malam. Ini kerana makanan yang dimakan pada waktu malam akan bertukar menjadi lemak disebabkan tiada aktiviti fizikal dilakukan. Kebanyakan mereka akan tidur dan menonton televisyen selepas makan malam," katanya.

Diabetes boleh dikawal jika individu mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam setiap hari. Namun, sering kali alasan tidak sempat, banyak kerja atau tiada masa diberikan kebanyakan warga kota. Sekiranya terikat dengan tugasan pejabat sehingga tiada dapat bersenam, sepatutnya individu mengambil peluang membuat pergerakan fizikal dalam tugasan harian. Misalnya menukar amalan dengan menaiki tangga setiap hari, banyak berjalan atau bagi wanita lakukan kerja rumah yang boleh mengeluarkan peluh walaupun kerja itu boleh dilakukan pembantu rumah.

Penjagaan kesihatan awal kepada kanak-kanak sangat membantu mengurangkan obesiti yang menjadi punca kepada masalah ini. Ibu bapa perlu membuang tanggapan anak terlalu kurus tidak cantik dan comel justeru ibu bapa memberi makan secara berlebihan sehingga mengalami masalah berat badan.

"Apa yang penting ibu bapa perlu mengawal pemakanan anak-anak. Biarlah anak itu kurus asalkan dia sihat dan aktif. Jangan kerana mahukan anak yang comel dan besar sehingga membiarkan anak makan apa saja. Pemakanan yang sihat bermula dari rumah. Oleh itu ibu bapa perlu menetapkan apa yang perlu dimakan anak.

"Misalnya menyediakan makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan bervitamin dan berprotein seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Memberi air kosong dan mengurangkan air bergula dan berkarbonat. Memberi makanan yang dimasak sendiri untuk mengelak makanan segera, bercoklat, berlemak dan bergula secara berlebihan.

"Sekiranya ibu bapa tidak menjaga pemakanan anak sejak kecil, berkemungkinan mereka akan mendapat obesiti apabila dewasa," katanya.

>Fakta angka

  • Kaum India paling ramai mendapat diabetes iaitu 19 peratus diikuti Melayu 12 peratus dan Cina 11 peratus (Kajian pada 2006 oleh Kementerian Kesihatan).
  • Kira-kira 70 peratus daripada pesakit jantung yang meninggal adalah penghidap diabetes, ini bermakna enam daripada 10 pesakit jantung adalah penghidap diabetes.
  • Kira-kira 40 peratus penghidap diabetes tidak mengalami masalah berat badan, tetapi disebabkan keturunan dan kurang bersenam.
  • Kira-kira lima peratus daripada wanita mengandung akan mendapat diabetes.
  • Kanak-kanak yang tidak menjaga pemakanan 50 peratus daripadanya akan mengalami masalah berat badan dan satu daripada tiga kanak-kanak akan mendapat diabetes pada usia muda.
  • Negeri Sembilan mencatatkan penghidap diabetes tertinggi iaitu 15 peratus manakala terendah Sabah dan Sarawak sebanyak enam peratus.
  • Sekiranya masyarakat Malaysia menukar corak pemakanan, diabetes hanya dapat dikurangkan dalam jangka masa 20 tahun lagi.
  • Kira-kira 22 peratus pesakit diabetes bukan kakitangan kerajaan, 50 peratus hanya berpendapatan RM500 sebulan saja.
  • 1 comment:

    Chempaka Aziz said...

    mmg kne berjaga2,pyakit ni dtg tk knl usia,tk knl kaya miskin...org kata datangnya mcm ribut tapi peginya mcm semut....lmbt nk smbuh atau kdg2 trus tk sembuh2.

    Related Posts with Thumbnails