Tuesday, October 12, 2010

Bazaar Amal MRA



KUALA LUMPUR 2 Okt. - Malaysian Relief Agency (MRA) melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan akan membina 100 buah rumah separuh kekal untuk mangsa banjir di Pakistan yang dijangka siap pada bulan depan.

Presiden MRA, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, jumlah kos keseluruhan bagi membina rumah tersebut adalah sebanyak RM300,000 dengan anggaran kos sebuah rumah bernilai RM3,000.

"Akibat banjir teruk yang melanda utara Pakistan, penduduk di kawasan itu terpaksa tinggal di dalam khemah yang daif dengan persekitarannya yang berhabuk di samping cuaca sejuk ketika ini.

"Lebih malang lagi, hampir seluruh kemudahan asas di kawasan terlibat mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penduduk di sana mengalami masalah memperoleh makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan," katanya kepada pemberita pada majlis Bazar Amal MRA 2010 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Dr. Imtiaz A Kazi.

Tambah Abdul Razak, Bazar Amal tersebut diadakan selama dua hari bermula hari ini bagi mengumpul dana untuk membiayai projek dan aktiviti yang dijalankan oleh MRA di dalam serta luar negara.

"Pihak MRA memerlukan lebih banyak dana daripada mereka yang prihatin kerana kami turut menghulurkan bantuan kepada rumah anak yatim di Padang, Indonesia, membiayai pembinaan masjid-masjid di utara Sri Lanka dan membantu mangsa peperangan di Gaza serta selatan Thailand," katanya.

Bazar Amal MRA itu juga merupakan usaha bersama pihak pengurusan Bangsar Shopping Centre dengan menempatkan lebih 30 peniaga yang menjual pelbagai jenis produk seperti perabot, permaidani dan lukisan.

Kira-kira 30 peratus daripada hasil jualan tersebut akan disalurkan ke dalam Tabung Mangsa Banjir Pakistan.

Dalam majlis hari ini, Abdul Razak juga menerima sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Dr. Shahrizal Azwan Bin Samsudin, wakil Al-Khalifah Foundation untuk tabung tersebut.

Sumbangan untuk tabung itu boleh disalurkan dengan menyumbang ke akaun: Malaysian Relief Agency, nombor akaun: 5640-9820-6365 (Maybank).

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.mra.my atau hubungi talian 03-2697-2007.

No comments:

Related Posts with Thumbnails