Saturday, October 10, 2009

Radio 24 Menang Anugerah AMIN





Salam,

Tahun lepas, sebuah rancangan bicarawara di siaran Radio 24 tentang Makan di Hotel Lima Bintang- Halal atau Haram telah disiarkan oleh Bernama dengan kerjasama PPIM. Program tersebut telah diterajui oleh sdri Nazira Noran (juga selaku penerbit), bersama Tokki PPIM dan dua orang chef yang dijemput khas untuk membincangkan tentang status makanan di hotel lima bintang yang diragui kerana ada pencampuran unsur halal dan haram.

Beberapa hari selepas itu saya telah menulis satu artikel tentang program tersebut yang dinamakan Hidangan Restoran Hotel 5 Bintang - Halal Atau Haram?.

Artikel tersebut telah menjadi satu fenomena dan "meletup" di seluruh negara. Ia telah disebarkan di blog, laman sesawang, forum, artikel akhbar online, email dan diedarkan sebagai hardcopy di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta. Malah artikel saya itu telah diceduk dengan menukarkan beberapa pendahuluan dan diletakkan nama pena sendiri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disiarkan di laman PPIM sendiri!!.

Kesan daripada rancangan yang dihoskan oleh sdri Nazira Noran di radio 24 itu beserta dengan artikel yang saya tulis, banyak pihak telah terbuka mata. TV3 melalui buletin TV3 telah membuat liputan khas tentang samada hotel lima bintang memang benar-benar halal statusnya. Begitu juga dengan NTV7. Seterusnya Dato' Dr Masitah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mengejutkan tentang status makanan halal di hotel.

Anugerah Media Islam Negara (AMIN) Kali Ketiga yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Oktober 2009 yang lepas telah mengumumkan Radio 24-BERNAMA sebagai pemenang bagi kategori Penerbit Bicarawara Berunsur Islam Radio Terbaik menerusi rancangan Makan di Hotel, Halal atau Haram? oleh Nazira Noran.

Tahniah diucapkan kepada sdri Nazira yang kini masih meneruskan program bersama Tokki PPIM yang saban minggu mendapat jumlah pendengar yang ramai. Diharapkan program ini akan berterusan menghidangkan perkara yang memberi manfaat kepada ramai pendengar Islam.

Wallahu Alam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails